RINDU SEORANG AYAHThis is a featured page




Video ini kisah kasih sayang di dalam sebuah keluarga di mana setiap orang akan sering merasa kerinduan antara satu sama lain jika berpisah. Jika video ini sangkut2 tolong 'pause dan klik semula untuk kali kedua, anda akan dapat menikmati lagunya tanpa gangguan. Tontonlah.

Pada 5 Disember 2007, jam 4.14 petang, saya terima SMS berbuyi:

"Jauh mana jarak kita...
Lama mana pun kita tak jumpa...
Kita tetap pandang langit yang sama.
Jadi kita sebenarnya tidak pernah jauh...
Diri mu tetap dekat di hati ini.."

SMS ini amat bermakna kepada saya dan akan terus saya simpan. Dihantar oleh anak ketiga saya Mohd Afiq. Ketika itu beliau mengikuti latihan bolasepak bersama pasukan Polis Diraja Malaysia selama seminggu.

Setiap hari berkali-kali saya menelipon atau sms dia. Agaknya dia rasa bosan lalu dia mengirim sms tersebut. Dia mungkin tidak mengetahui betapa ayahnya risaukan dia setiap waktu.

Saya jarang sekali berpisah dengan keluarga saya. Anak-anak semuanya membesar di hadapan mata. Berpisah dengan ahli keluarga meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa saya.


Semasa Kak Long anak sulong saya diterima belajar di UiTM Shah Alam, saya merinduinya setiap hari, akhirnya setelah beberapa waktu, kak long kembali ke rumah dan selama 3 tahun kak long berulang alik dari Seremban.

Semasa Bang Ngah anak kedua saya diterima masuk ke asrama di sebuah sekolah menengah, selepas memperolehi 5A, dia hanya berada di situ selama dua minggu. Hampir setiap hari saya mengunjungi beliau, lalu akhirnya dia kembali ke rumah.

Semasa Mohd Abdul Qawiyy memperolehi keputusan yang baik, isteri saya becuk meminta saya menghantarnya ke mana-mana asrama. Saya hanya memekakan telinga dan Abdul Qawiyy kekal bersama kami.

Semasa Nur Asfarina memperolehi keputusan yang baik dengan 5A, saya berharap biarlah dia bersekolah di Seremban sahaja. Hari ini dia berada di King Gorge V dan kekal berada di rumah.

Anak sulong saya dipanggil kak long, jiwanya amat sensitif dan saya tidak pernah memanggilnya dengan nama lain selain daripada kak long. Begitu juga dengan anak kedua yang sepanjang masa saya panggil Bang Ngah.

Anak ketiga kami bernama Mohd Afiq dan setiap hari saya menjerit memanggilnya "Bang Lang" Kini mengikuti kursus sepenuh masa dengan MAS di Setapak Kuala Lumpur tetapi berulang alik dari Seremban.

Anak keempat Mohd Abdul Qawiyy, saya memanggilnya Dik Wi jika dekat. Jika jauh sedikit saya akan menjerit 'Abdul'




Yang bongsu Nur Asfarina, saya memanggilnya Dik As. Itulah nama panggilan biasa hari-hari terhadap anak-anak saya.

Kami sekeluarga amat rapat, kemana-mana sering bersama. Itulah sebabnya saya membeli MPV 7 tempat duduk untuk menampung kesemua keluarga serentak apabila kami berjalan.

Jika seorang daripada keluarga kami tidak turut serta maka terasa sangat kekurangannya. Lalu seboleh-bolehnya kami akan bersama.

Riang bersama keluarga bagi saya mengatasi segalanya. Pada bulan Disember kami bercuti ke Pulau Mutiara, Bukit Kayu Hitam, kemudian ke Bukit MMerah dan ke Cameron Highland.

Selang beberapa hari kami bercuti lagi di Legend Hotel Kuala Lumpur dan ke Genting Highland. Jika disampaikan hajat, pada 2 dan 3 Februari kami akan ke Cherating, Kuantan pula cuti Raya Cina.

Fakta percutian keluarga amat menarik dan sesekali menyebabkan saya termenung. Perjalanan hampir 2000 kilometer, RM terlibat untuk penginapan, makan minum, beli barang, tol lebuh raya, petrol, lebih RM7,000. Jumlah photo yang diambil hampir 2,000 keping. Hampir setengah daripada gambar tersebut ialah muka 'Abdul Qawiyy' Jika orang tidak mahu mengambil gambarnya, dia akan ambil sendiri walaupun gambar itu tidak elok.

Ya Mohd Abdul Qawiyy, anak saya yang semasa usianya 10 tahun pernah memberitahu saya "Awi boleh jaga diri Awi sendiri..."

RINDU SEORANG AYAH - JOKISE COOL SITE


RINDU SEORANG AYAH - JOKISE COOL SITE

Semalam 28 Januari 2008, Mohd Abdul Qawiyy bertekad untuk tinggal di asrama. Saya dan isteri menghantarnya ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Klawang Jelebu kira-kira 60 kilometer dari Seremban.

Semasa dia membuat persediaan, mengemas beg, pakaian, buku-buku dan keperluannya saya langsung tidak ambil peduli. Bangun pagi saya dapati semuanya sudah sedia dan Abdul begitu bersemangat.

Jam 9.00 pagi saya dan isteri menghantarnya ke asrama. Urusan selesai kira-kira jam 1 tengah hari. Semasa bersalam dan mencium tangan saya Abdul tetap ceria dan bersemangat.

Walaupun handphone tidak dibenarkan di asrama tersebut namun saya tidak mengambil handphone nya. Dalam perjalanan pulang saya dan isteri tidak banyak bercakap. Saya merasakan selepas ini saya akan jarang-jarang bertemu dengan Abdul.

Kembali ke rumah saya merasakan sesuatu yang kurang. Wajah yang sering menghiasi rumah kami sudah tiada. Namun masing-masing seolah-olah tidak kisah sahaja.

Dik As kehilangan teman bertengkar. Bang Lang kehilangan rakan wrestling dan bergumpal. Loceng pagar tidak lagi berbunyi seperti selalu dimana kawan Abdul sering datang.

Tiada lagi suara jeritan isteri saya yang sering menyuruh arah Abdul itu dan ini. Saya dapati injin motor sejuk, tidak dihidupkan kerana motor itu hanya dia yang sering memandunya.

Kak Long kehilangan rakan dan adik yang dimarahinya sepanjang waktu. Saya pula tersasul-sasul hendak memanggil Abdul, suruh taruk ubat, suruh picit belakang, suruh tengok uwan dan anyang. Saya kehilangan rakan yang sering berebut lap top waktu petang dan malam.

Semasa hendak membeli lauk untuk makan malam, isteri saya terpandang peha ayam, hanya itu yang Abdul makan hari-hari, dia jadi sebak.

Ah hebatnya pengaruh Abdul Qawiyy ke atas kami semua. Malam merangkak tiba, selalunya sesibuk mana dan selewat mana sekalipun Abdul tetap sujud di tikar sembahyang walaupun jam 2 pagi dia tetap menunaikan solat Isyak.

Saya tercari-cari bayang Abdul dan sambil menahan sebak saya keluar untuk minum teh. Reda sedikit perasaan. "Ayah tersasul-sasul memanggil Awi" saya menghantar sms kepadanya.

Jam 11.30 saya kembali ke rumah, sunyi, semua orang tidak bercakap. Bila saya tanya Kak Long yang sedang mencuci pinggan, apa hal dia terus diam.

Kak Long akhirnya bertambah sebak " rindu nak marah Awi..." katanya diikuti tangisan beliau.

Akhirnya satu rumah sudah tidak mampu menahan perasaan. Sehingga lewat pagi saya masih dapat merasakan air panas terus membasahi bantal saya.

Saya menangis semahunya dan siapa lagi yang dapat menyabarkan sesiapa. "Iyolah, tolong topup yo." saya terima balasan sms dari Awi. Biasalah hari-hari dia minta saya topupkan untuk dia.

Hari ini ketiadaan kelibat Abdul Qawiyy masih saya rasakan dan itulah sebabnya saya mencari video dari filem Hindustan Kya Kehna untuk dimuatkan di sini. Sesiapa yang pernah menonton filem tersebut sudah tentu tahu ceritanya.

Kisah seorang anak yang merasakan dirinya dimarahi oleh setiap ahli keluarga, lalu lari meninggalkan rumah tanpa menyedari betapa akhirnya perasaan rindu membelengui setiap hati keluarga tersebut.

Sejak semalam tiada lagi kedengaran petikan gitar sumbang dari Abdul sebelum dia masuk tidur. Abdul tidak tidur di biliknya. Dia tidur di atas sofa di bilik tamu dengan kipas berputar laju. Kini bilik itu juga turut sunyi tanpa penghuni

Saya seperti biasa apabila hendak tidur akan merenung setiap bilik anak-anak saya. Apabila merenung ke tempat perbaringan Abdul yang kosong, terasa sangat sepinya hati ini. Maka hadirlah rasa rindu yang mencengkam.

Kepada Abdul yang selalu berkata "sok kalau Awi pergi asrama, rasakanlah..siapa nak disuruh lagi..." kami kini sedang merasainya.

Kepada Abdul "jauh mana jarak kita, lama mana kita tak jumpa, kita tetap pandang langit yang sama. Jadi kita sebenarnya tidak pernah jauh, dirimu tetap dekat dihati ini"

Kepada Abdul selamat belajar dan jangan lupa kembali pada hari Jumaat ini kerana kita akan ke Cherating pada hari Sabtu.

Kepada Abdul kami semua merindui mu..


FRIENDSTER ABDUL


jokise
jokise
Latest page update: made by jokise , Jul 28 2008, 10:39 AM EDT (about this update About This Update jokise jokise - jokise

19 words added

view changes

- complete history)
More Info: links to this page
Started By Thread Subject Replies Last Post
Normala LELAKI MITHALI 0 Jan 30 2008, 12:10 AM EST by Normala
Thread started: Jan 30 2008, 12:10 AM EST  Watch
Alahai, sodih bunyinyo yo Jokiden. Bertuah isteri dan anak-anak you ada suami dan ayah yang sungguh mengambil berat dan penyayang. Semoga Allah SWT memberi ganjaran dan memberkati serta merahmati hidup you sekeluarga di dunia dan di akhirat. Saya sebagai seorang ibu, tumpang rasa sedih dan seronok bila baca tulisan you kali ini. Sungguh menyentuh rasa ... YOU ARE THE BEST!!! KEEP IT UP MY FRIEND!!!
1  out of 1 found this valuable. Do you?    
Keyword tags: None
Showing 1 of 1 threads for this page