
Ramai berpendapat tarikh 07/07/07 adalah merupakan tarikh 'istimewa' yang mungkin membawa tuah tertentu dalam hidup seseorang. Dari itu ramai yang memilih tarikh ini untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.
Dalam internet seperti laman web The Knot,
www.theknot.com, dinyatakan bahawa terdapat lebih daripada 38,000 orang mendirikan rumah tangga pada tarikh hari ini.
Di Amerika beribu-ribu orang memilih tarikh 07/07/07 sebagai tarikh istimewa untuk memulakan hidup berkeluarga. Di Jepun, Singapura, Indonesia, India, Ghana dan China juga terlalu ramai yang memilih tarikh hari ini.
Pendek kata di mana sahaja di seluruh dunia pada hari ini ramai yang mengatakan bahawa sesuatu keberkatan akan menjelma sempena tarikh hari ini.
Sejauh mana bertuahnya tarikh ini dan sejauhmana berkatnya tidak ada sesiapa yang boleh mengesahkannya.
Di Amerika kaki judi juga turut menjadikan tarikh hari ini untuk cuba meraih keuntungan yang berlebihan dalam kegiatan perjudian mereka.
Sekurang-kurangnya di Taman yang bersekitaran dengan Taman tempat saya tinggal juga terdapat beberapa kenduri perkahwinan. Mungkin secara kebetulan sahaja tarikh ini mereka pilih.
Saya pula terpaksa menghadiri dua majlis memandangkan dua orang rakan saya juga memilih tarikh hari ini untuk mengawinkan anak mereka.
Jemputan hanya melalui sms, tetapi sms telah menjadi satu kaedah yang diterima dalam memanjangkan jemputan kepada rakan-rakan karib. Ia bukan sahaja mudah, simple, murah dan berterus terang tetapi juga menjimatkan masa kerana penjemput tidak perlu lagi mengunjungi banyak rumah seperti dahulu.
Secara berseloroh kawan saya mengatakan "nak jadi James Bond tak dapat...aku buat kenduri anak aku di 07 ini.."
Bagi saya setiap hari sama sahaja, tak ada yang istimewa dan tidak ada yang sial. Di Iraq pagi tadi dilapurkan sebanyak 73 orang terbunuh akibat serangan bom berani mati. Sementara masih di Iraq, petang ini 20 orang lagi maut akibat serangan bom dan berpuluh-puluh lagi yang cedera.
Di Amerika lagi, budak berusia 11 tahun memandu dengan kelajuan 160 km dalam keadaan mabuk, budak berusia 10 dan 11 tahun menculik budak berusia 1 tahun dan menuntut tebusan sebanyak USD200,000 dan seorang mengamuk di sebuah Casino di Las Vegas.
SALAM SEJAHTERA UNTUK SEMUA
Berita Dari Mingguan Malaysia 8.7.07 39 pasangan kongsi 07-07-07

|
SEBAHAGIAN pengantin baru gembira meraikan perkahwinan mereka di sebuah tokong Buddha di Kuala Lumpur, semalam. – AFP.
|
IPOH 7 Julai – Sebanyak 39 pasang pengantin baru mengambil kesempatan daripada tarikh 7 Julai 2007 atau 07-07-07 yang dianggap bertuah untuk melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dewan Chin Woo di sini, hari ini.Jumlah itu mengatasi rekod 28 pasang pengantin yang melangsungkan perkahwinan di dewan sama sempena sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lepas.Penolong Pendaftar Perkahwinan, Datuk Ooi Foh Sing yang menyempurnakan majlis itu berkata, walaupun nombor 07-07-07 tidak mempunyai sebarang makna bagi masyarakat Cina, tarikh tersebut dianggap baik kerana hanya berlaku seratus tahun sekali.“Mungkin mereka ingin mengikut masyarakat barat yang menganggap nombor tujuh sebagai bertuah,” katanya di sini hari ini.Katanya, pasangan yang mendaftar perkahwinan dengan Persatuan Sukan Chin Woo juga diberikan kupon diskaun penginapan di Hotel Ritz Garden dan kupon makan malam percuma di Japanese Rummy.“Selain itu, syarikat foto Super Star juga mengambil gambar perkahwinan secara percuma,” katanya.Menurut beliau, pada asalnya, sebanyak 41 pasangan mendaftar untuk berkahwin pada hari ini tetapi dua lagi pasangan dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana nombor empat dianggap tidak baik bagi masyarakat Cina.“Kita daftar 39 pasang pengantin sahaja kerana nombor 39 membawa makna hidup berkekalan bagi masyarakat Cina,” katanya.Sementara itu, pasangan Tan Kin Min, 30, dan Lee Sau Ching, 26, berkata, mereka memilih tarikh itu kerana sukakan nombor tujuh.“Saya sangat sukakan nombor 77 sebab saya dilahirkan pada tahun 1977 dan nombor telefon saya juga menggunakan nombor 77,” kata Kin Min.Pasangan Woo Chee Tian, 28, dan Voon Yoke Fong, 28, pula memberitahu, mereka sengaja memilih tarikh itu kerana mudah diingat.“Isteri saya yang pilih tarikh ini kerana dia sukakan idea berkahwin secara ramai-ramai supaya menjadi kenangan yang sukar dilupakan sepanjang hidup,” kata Chee Tian.LAGI TENTANG ANGKA 7 
| Dalam Negeri |
Perkahwinan Eizlan-Vie Shantie: Hantaran RM77,777.77
KOTA KINABALU 7 Julai – Pelakon popular, Eizlan Yusof, 36, hari ini selamat diijab kabul dengan model sambilan, Vie Shantie Haroon Khan, 21, di Taman Ujana, King Fisher, Likas di sini, hari ini.
Majlis akad nikah secara sederhana pada pukul 11.15 pagi itu disempurnakan oleh Imam Masjid Negeri, Amran Anggun dengan disaksikan oleh rakan dan saudara-mara terdekat.
Mereka menjadi suami isteri selepas sekali lafaz akad nikah.
Vie Shantie yang bekerja sebagai Juru- ukur bahan di salah sebuah firma seni bina di ibu negara itu menerima wang hantaran RM77,777.77 dan mas kahwin berjumlah RM300.
Menurut Eizlan, pihaknya menghantar tujuh dulang hantaran yang kebanyakannya dibeli ketika beliau berada di Eropah manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.
Beliau yang pernah menjadi penyanyi memberitahu, mula mengenali isterinya sejak 7 Januari lalu dan pintu hatinya terbuka untuk berkahwin setelah dua bulan mengenali isterinya yang mempunyai darah kacukan Pakistan, Arab, Bajau, Melayu, Kadazan dan Cina.
“Saya mengenali isteri saya selama enam bulan dan mengambil keputusan untuk melamarnya, ketika itu saya sedang berada di Eropah.
“Saya melamarnya melalui telefon, sejurus mendapat persetujuan, saya membeli barang-barang hantaran di sana termasuk sebentuk cincin perkahwinan.
“Saya tidak teragak-agak untuk membuat keputusan itu kerana merasakan jodoh dengannya kuat. Juga tertarik dengan sifatnya yang lemah lembut, penyayang dan sering mengambil berat tentang keluarganya,” katanya.
Eizlan berkata, tempoh perkenalan selama enam bulan sudah cukup bagi menyelami hati budi masing-masing dan menyifatkan keputusannya untuk berkahwin merupakan langkah tepat.
Bagi Vie Shantie yang mempunyai diploma dari Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC) dan berkelulusan Universiti Sains Malaysia (USM), tarikan utama yang dimiliki Eizlan ialah sifatnya yang ikhlas dan tidak meninggi diri.
“Saya mengenalinya sebagai seorang lelaki yang jujur dan suka berterus terang,” akuinya yang terpikat dengan Eizlan walaupun jarak umur antara mereka agak jauh.
Selain model sambilan, Vie Shantie yang merupakan anak kedua dari lima beradik pernah menjadi pelakon iklan televisyen antaranya Livita, Maxis, DiGi, TMNet, Streamyx dan Toyota Vios.
Pasangan pengantin baru itu masih belum membuat keputusan mengenai destinasi berbulan madu mereka sama ada dalam atau luar negara.
HOME JOKIDEN MY ALBUM ANOTHER ALBUM